Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Isnin berkata salah seorang rakyatnya yang diculik militan di selatan Filipina sejak sembilan bulan lalu, berkemungkinan telah dibunuh.

“Dengan penuh rasa dukacita, saya mempunyai sebab untuk percaya bahawa seorang rakyat Kanada, Robert Hall, yang dijadikan tebusan di Filipina sejak 21 September 2015, telah dibunuh oleh pihak yang menahannya,” ujar Trudeau dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, pemerintah Kanada menjalankan siasatan ke atas sebuah laporan mengenai rakyatnya yang ditahan di selatan Filipina telah dibunuh.

“Kerajaan Kanada sedar mengenai laporan seorang rakyat negara ini telah dibunuh.

“Kami sedang mencuba pelbagai saluran yang perlu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sedang menjalin hubungan rapat dengan pihak berkuasa Filipina,” ujar Kementerian Luar kanada dalam satu kenyataan.

Anggota kumpulan Abu Sayyaf yang sering menculik dan meminta wang tebusan berkata mereka akan membunuh Ronert Hall jika mereka tidak menerima 300 juta peso (RM27 juta) menjelang Isnin.

Hall adalah antara empat orang yang diculik pada September tahun lalu dari kapal layar di sebuah resort pelancongan di selatan Filipina.

Seorang lagi rakyat Kanada, John Ridsdel, telah dipenggal kepalanya pada April selepas tuntutan wang tebusan dengan jumlah yang sama tidak dilayan.

Di Filipina, pihak berkuasa tidak mengesahkan laporan media bahawa Hall telah dibunuh.

“Tiada laporan rasmi telah sampai kepada saya. Saya tidak boleh mengesahkannya,” ujar jurucakap tentera, Mejar Filemon Tan kepada AFP.

Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai masih menawan dua orang tebusan lain iaitu teman wanita Hall berbangsa Filipina Marites Flor dan pengurus resort warga Norway Kjartan Sekkingstad.