Pihak polis Vietnam telah menahan dua individu yang terkenal dengan kebolehan menyamar imej Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, ketika mereka bertemu di Hanoi pada Jumaat.

Howard X, iaitu lelaki yang membawa imej Kim Jong Un, bertemu dengan ‘rakannya’ Russel White yang meniru gaya Donald Trump, membuat penampilan mengejutkan di tengah bandar raya tersebut.

Aksi kedua-duanya itu menarik perhatian umum memandangkan dua pemimpin dunia itu memang bakal bertemu untuk bermesyuarat di kota itu pada 27-28 Februari.

Ketika kedua-dua penyamar itu kemudian ditahan pihak berkuasa sewaktu mereka hendak diwawancara sebuah stesen penyiaran tempatan.

Kehadiran kedua-dua penyamar ini mencuri perhatian khalayak ramai di kota Hanoi. - Reuters

Polis Vietnam memberi amaran agar mereka berhenti membuat penampilan umum, atau berisiko dihantar pulang dari Vietnam.

"Mereka mahu kami berhenti menyamar atau dihalau keluar dari negara ini,” ujar Howard X yang diarah kembali ke hotel penginapannya.

Pihak polis juga menegaskan bahawa jika mereka mahu bersiar-siar di sekeliling Hanoi, perlu mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu Howard X, yang merupakan warga Hong Kong, bertegas bahawa kehadirannya di Vietnam tidak melanggar sebarang undang-undang dan berkeras tidak akan meninggalkan negara itu kecuali jika dipaksa.

Dia bersama White, dikerumuni warga tempatan apabila mereka muncul di Hotel Metropole di Hanoi dan di Opera House.