OHIO:Calon Demokrat, Joe Biden menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak bertindak secara 'bijak' dalam menangani isu COVID-19 di negara itu.

Katanya, meskipun Trump tahu COVID-19 merupakan virus pembunuh, namun beliau tidak mengambil langkah drastik termasuk memberi amaran awal kepada orang ramai kerana dikhuatiri akan mencetuskan panik.

"Dia (Trump) tunggu dan tunggu. Dia masih tidak mempunyai sebarang rancangan. Dia tahu betapa seriusnya krisis ini sejak Februari lagi.

"Apa dia lakukan? Dia tidak memberi amaran awal. Kita  tidak panik, yang panik adalah dia.

"Kira-kira 200,000 kematian dilaporkan di AS dengan lebih tujuh juta penduduk terkesan setakat ini.

"Lebih 40,000 kes baharu direkodkan setiap hari. Apa kamu lakukan? soalnya pada debat pusingan pertama yang sedang berlangsung di Universiti Case Western Reserve Cleveland, Ohio, di sini, pada Rabu.

Pengacara Fox News, Chris Wallace, bertindak sebagai pengantara program yang ditayangkan tanpa iklan di setiap rangkaian televisyen utama di AS dan di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Biden menegaskan Trump seharusnya memberi bantuan kewangan kepada orang ramai dalam membantu sektor ekonomi dan bukannya bertindak sebaliknya dengan menutup sektor perniagaan dan sekolah.

Menjawab soalan yang dibangkitkan itu, Trump menjelaskan sekiranya beliau mendengar 'nasihat' calon presiden itu, AS berkemungkinan bakal berdepan dengan bilangan angka korban sehingga berjuta-juta.

"Kamu mungkin tidak mampu melakukan apa yang saya lakukan," tambahnya.

Trump kemudian membidas dengan isu virus Influenza A (H1N1) ketika Biden menjadi Naib Presiden AS yang dilihat gagal menangani situasi dengan baik.

"Saya tahu bagaiman menjalankan tugas. Ketika itu angka korban hanya 40,000 orang bukan 200,000 orang, Tuan Presiden," ujar Biden.