WASHINGTON:Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyelar Ketua Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Dr Anthony Fauci berkenaan langkah mengurangkan penularan COVID-19.

Dalam satu rakaman audio, Trump menggelar Fauci sebagai "masalah besar."

Tegasnya, jika AS terus mendengar arahan Fauci, negara itu bakal berdepan kematian sehingga 800,000 orang akibat pandemik COVID-19.

"Semua orang dah bosan dengar cakap Fauci dan mereka yang bodoh ini. Mereka salah.

"Fauci seorang yang baik. Setiap kali dia muncul di televisyen pasti ada masalah, tapi masalah lebih besar jika pecat dia.

"Fauci ini satu masalah besar. Jika saya dengar cakap dia, kita akan berdepan sekitar 700,000 hingga 800,000 kematian; kita sebaliknya berjaya selamatkan 2.2 juta orang," kata Trump.

Kenyataan berkenaan dilaporkan dikeluarkan dalam kempen Trump di Las Vegas.

Fauci dalam temu bual program "60 Minutes" oleh stesen televisyen CBS pada Ahad berkata beliau tidak terkejut Trump positif COVID-19.

Menurutnya, Trump hadir ke kempen di khalayak ramai tanpa memakai topeng muka.

Fauci turut menolak tindakan kempen Trump yang menggunakan petikan kata-katanya dalam bahan kempen.