Berita  |  Dunia

Trump isytihar Korea Utara negara taja keganasan

Trump isytihar Korea Utara negara taja keganasan
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata tindakan ini bakal mencetuskan sekatan tambahan terhadap negara itu. - Foto REUTERS/Kevin Lamarque
WASHINGTON: Korea Utara kini dikategorikan sebagai negara yang menaja keganasan, sembilan tahun selepas ia dikeluarkan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata tindakan ini bakal mencetuskan sekatan tambahan terhadap negara itu.

“Hari ini Amerika Syarikat menyenaraikan Korea Utara sebagai negara menaja keganasan. Tindakan ini patut dilakukan beberapa tahun yang lalu.
“Selain daripada mengancam dunia dengan peluru berpandu nuklear, Korea Utara telah beberapa kali menyokong tindakan keganasan antarabangsa termasuk pembunuhan di negara luar,” kata Trump.

Setakat ini, hanya tiga lagi negara lain yang diisytiharkan oleh Amerika Syarikat sebagai negara yang menaja keganasan iaitu Iran, Sudan dan Syria.

Korea Utara telah diletakkan dalam senarai tersebut pada 1987 selepas terlibat dalam pengeboman pesawat Korean Air yang mengorbankan 115 penumpang termasuk anak kapal.

Bagaimanapun pada tahun 2008, bekas presiden AS, George W. Bush telah mengeluarkan Korea Utara daripada senarai berkenaan.