Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menghantar kembali angkasawan ke bulan.

Tidak cukup sekadar ke bulan, Trump juga mahu AS menjadi negara pertama menghantar manusia ke Marikh.

Perkara itu terkandung dalam arahan polisi angkasa lepas pertama Trump yang ditandatanganinya pada Isnin.

Arahan ‘Polisi Angkasa Lepas 1’ itu antara lain mengarahkan pentadbiran NASA untuk kembali memberi tumpuan kepada penjelajahan dan penemuan dalam program angkasa lepasnya.

“Ia menandakan langkah penting dalam mengembalikan angkasawan Amerika ke bulan untuk kali pertama sejak 1972 bagi penjelajahan dan kegunaan jangka panjang.

“Kali ini kita bukan hanya mahu memacak bendera dan meninggalkan kesan tapak kaki, tetapi kita akan membina asas untuk misi ke Marikh,” kata Trump dalam majlis menandatangani arahan berkenaan di White House.

Jun lalu Trump menubuhkan kembali Majlis Angkasa Lepas Kebangsaan dengan melantik Naib Presiden AS Mike Pence sebagai pengerusinya.

Majlis berkenaan pertama kali ditubuhkan pada 1989 ketika pentadbiran George HW Bush namun dibubarkan Presiden Bill Clinton empat tahun kemudian.