Presiden Donald Trump mahu sekatan terus dikenakan ke atas Korea Utara.

Katanya, pada hemat beliau, sekatan yang dikenakan sebagai tekanan untuk rejim Pyongyang menggantung program nuklear pada masa ini berada di tahap yang adil.

“Kita mahu sekatan tetap wujud. Dan secara terus terang saya ada pilihan untuk kenakan sekatan baharu terhadap mereka tetapi saya tidak mahu melakukannya kerana hubungan baik antara saya dengan pemimpinnya Kim Jong Un.

“Saya tidak fikir ia adalah perlu. Seperti yang anda ketahui beberapa minggu yang lalu saya memutuskan untuk tidak mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara.

“Tetapi saya berpendapat bahawa sekatan sekarang pada tahap yang adil, dan saya benar-benar percaya sesuatu yang sangat penting akan berlaku,” katanya kepada pihak media yang menyoal adakah AS akan teruskan sekatan ke atas Korea Utara.

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan sulung bersama pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-In.

Moon adalah individu yang selama ini memainkan peranan sebagai perantara Washington-Pyongyang dan terus berusaha untuk mencapai kesepakatan perjanjian pembubaran senjata nuklear.

Dalam pada itu, Moon berpendapat perkara utama yang perlu dilaksanakan Trump adalah untuk mengekalkan momentum dengan Korea Utara.

Malah, beliau percaya bahawa Trump akan dapat menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, Trump turut sahkan kemungkinan adanya sidang kemuncak ketiga selepas ini.

Terdahulu, Trump memutuskan untuk tidak mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara.

Ia sekali gus memberi indikasi bahawa kedua-dua negara itu akan meneruskan perjanjian pembubaran senjata nuklear.

BACA: Trump batal sekatan baharu terhadap Korea Utara