PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump diminta untuk mengurangkan berat badan sehingga tujuh kilogram tahun ini sebagai salah satu langkah mengamalkan gaya hidup sihat.

Pakar perubatan dari White House, Dr Ronny Jackson memaklumkan Trump yang sebelum ini tidak berminat untuk bersenam sudah mula mengambil pil anti rambut gugur, setiap hari.

"Sebelum ini, saya tidak begitu aktif dalam cara dan pemakanan Trump, tetapi tahun ini kami akan menumpukan kepada pemakanan.

"Setakat ini, Trump tidak mempunyai sebarang program senaman khusus dan saya akan melihat kepada perkara ini.

"Namun saya yakin Trump tetap memiliki kesihatan yang optimum untuk bertugas," kata Jackson kepada pemberita.

Trump bersalaman dengan doktor Dr. Ronny Jackson.

Doktor itu turut menjelaskan Trump memiliki gen yang luar biasa kerana masih sihat walaupun sentiasa mengambil makanan segera dan kurang senaman.

Dalam pada itu, Jackson berkata Presiden yang berusia 71 tahun itu mempunyai skor normal dalam beberapa ujian kesihatan termasuk ujian kognitif, dan 'cemerlang' dalam ujian keseluruhan kesihatan.

"Keadaan kesihatan Presiden Trump adalah baik secara keseluruhannya.

"Saya tidak mempunyai sebarang kebimbangan terhadap kebolehan kognitif dan fungsi neurologi beliau," kata Dr. Ronny Jackson kepada pemberita.

Antara ubat-ubatan lain yang diambil Trump adalah multivitamin, krim untuk rosasea, keadaan kulit yang menyebabkan kemerahan, dan ubat untuk mengurangkan kolesterolnya.