PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dikatakan merayu kepada Presiden China Xi Jinping pada 2019 untuk membantunya dalam pilihan raya presiden.

Perkara berkenaan terkandung dalam buku baru tulisan bekas penasihat keselamatan Trump, John Bolton, yang mendakwa presiden AS dipengaruhi kepentingan politik ketika mengambil keputusan berkenaan keselamatan negara.

“Sukar untuk saya mencari mana-mana keputusan besar yang dibuat Trump, ketika saya masih dalam perkhidmatan, yang tidak dipengaruhi kepentingan politik,” tulis Bolton dalam buku setebal 577 muka surat itu.

Bolton bertugas sebagai Penasihat Keselamatan Negara AS selama 17 bulan di bawah pentadbiran Trump.

Beliau merancang untuk mengeluarkan buku dalam bentuk memoir bertajuk "The Room Where It Happened," pada 23 Jun ini, selepas tertangguh selama berbulan-bulan.

Bolton berkata, dalam pertemuan antara Trump dan Jinping di Osaka, Jepun pada Sidang G-20 pada 2019, Trump menyatakan, ahli parti Demokrat tidak sukakan China.

Bagaimanapun, katanya, Trump kemudian menukar kepada topik pilihan raya presiden AS dan merayu kepada China untuk memastikan kemenangannya.

Tambahnya, perbualan kemudian bertukar kepada isu berkaitan penjanjian dagangan.

“Trump dilaporkan berkata kepada Presiden China, yang dia tidak akan kenakan tarif terhadap lebihan dagangan China ke atas AS bernilai ASD350 billion, dengan syarat, Jinping membeli seberapa banyak produk pertanian yang dia mampu dari AS,” kata Bolton.

Trump sebelum ini menandatangani undang-undang untuk menghukum China melalui sekatan dan kekerasan ke atas etnik minoriti Uighur.

Sekatan berkenaan bagaimanapun tidak mengikat dan boleh diikut atau tidak.

Namun menurut Bolton, Trump dalam perbualan dengan Jinping menyokong kekerasan tersebut dan bersetuju dengan tindakan China membina kem tahanan etnik Uighur.

Susulan pendedahan berkenaan, pada Selasa, Jabatan Kehakiman AS memfailkan tuntutan mahkamah menghalang Bolton menerbitkan memoir mengenai kerjayanya di Rumah Putih itu.

Tuntutan mahkamah itu difailkan di Mahkamah Daerah Columbia, mendakwa memoir itu mengandungi maklumat rahsia yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menurut Bolton dalam bukunya, rayuan kepada China itu hanya satu daripada contoh perbincangan yang mempunyai corak sama dan meruntuhkan legitimasi jawatan Presiden AS.

Beliau mendakwa, Trump mempunyai kakitangan yang tidak cekap dan tidak tahu menguruskan White House serta kerajaan pusat.

Tambahnya, dalam setiap penerangan keselamatan, Trump bercakap lebih banyak daripada mereka yang harus membuat pembentangan dan berkenan subjek yang tiada kaitan dengan penerangan keselamatan.

Buku tersebut dianggap antara yang paling jujur berkenaan pentadbiran Trump.

Agensi berita The Associated Press mendapat satu salinan awal.