Presiden Donald Trump berkata beliau berpuas hati dengan usaha memansuhkan aktiviti nuklear oleh Korea Utara setakat ini, namun belum tiba masanya untuk Amerika Syarikat (AS) menghapuskan sekatan ekonomi.

Katanya, banyak perkara perlu dirunding di antara dua negara itu sewaktu pertemuan kali kedua beliau bersama Kim Jong Un di Hanoi yang dijadualkan 27 dan 28 Februari ini.

Trump berkata, perkembangan rundingan dua hala antara AS dan Korea Utara selama ini juga membuahkan hasil apabila banyak tawanan AS di Korea Utara dihantar pulang.

"Saya mahu saksikan, pada akhirnya, aktiviti nuklear di Korea Utara dimansuhkan. Itu matlamat kita. Tetapi, saya ada banyak masa, tidak ada tekanan," katanya di White House pada Selasa.

"Saya tidak terburu-buru, kerana tiada aktiviti ujian nuklear dilakukan. Selagi tiada ujian nuklear, saya tidak perlu terburu-buru. Jika ada ujian, itu perkara lain," tambahnya.

Trump dipercayai merujuk kepada ketiadaan aktiviti ujian senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara sejak akhir 2017.

Beliau pada masa sama sempat menyelar pentadbiran Barack Obama sebelum ini yang menyaksikan hubungan tegang antara dua negara itu.

Terdahulu, Trump menghubungi Presiden Korea Selatan Moon Jae In berhubung rundingan dengan Korea Selatan.

Pada pertemuan kali pertama Trump dan Kim di Singapura tahun lepas, Kim berikrar akan menghapuskan program senjata nuklearnya.

Bagamanapun, menurut pihak AS, Korea Utara masih belum mengambil sebarang langkah konkrit ke arah penghapusan itu.

AS dilaporkan mengharapkan kepada komitmen yang lebih kukuh pada pertemuan di Vietnam hujung bulan ini.