Pemimpin Demokratik Senat Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer berkata, Presiden Donald Trump tidak wajar bertemu secara peribadi dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sehingga rakyat AS tahu apa yang berlaku di persidangan Helsinki pada 16 Julai lalu.

"Selagi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam pertemuan di Helsinki, Trump tidak sepatutnya mengadakan lagi pertemuan peribadi dengan Putin," kata Schumer dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pertemuan itu memang tidak sepatutnya berlaku, tidak kira sama ada di AS atau di Rusia.

Terdahulu, Trump memaklumkan menerusi Twitter beliau mahu mengadakan pertemuan kedua dengan rakan sejawatnya dari Rusia itu bagi melaksanakan banyak perkara yang telah dibincangkan termasuk usaha memerangi keganasan, keselamatan Israel, proliferasi nuklear, serangan siber, perdagangan, Ukraine, perdamaian Asia Barat dan Korea Utara.

Tinjauan pendapat yang dilakukan semalam mendedahkan sejumlah besar rakyat AS menolak cara Trump mengendalikan persidangan berkenaan, namun majoriti ahli parti Republikan menyokong beliau. - Agensi