Sama ada dilihat sebagai aneh, karut atau syirik, amalan ilmu mistik masih wujud dan kini pengamalnya mendakwa ia boleh dilakukan menerusi jaringan teknologi komunikasi.

"Sila ulang selepas saya! Untuk bersama dengan siapa yang saya mahu,” kata ahli keluarga tukang sihir Romania melafazkan mentera menerusi panggilan video dengan pelanggan dari India yang membayar untuk khidmat sihir cinta.

Sesi tersebut, yang berlangsung dalam sebuah pondok di halaman belakang rumah yang dihias di utara Bucharest, merupakan salah satu konsultasi yang dilakukan keluarga itu secara atas talian.

Reuters melaporkan, adakalanya sesi itu dilakukan secara penstriman langsung menerusi Facebook untuk mendapatkan pengikut digital mereka.

"Tukang sihir yang berkuasa boleh menyelesaikan masalah dari kejauhan. Bukan telefon atau Facebook yang membuat magis itu, tetapi kata-kata yang kami ucapkan,” dakwa salah seorang daripada mereka, Cassandra Buzea yang berusia 20 tahun.

Keluarga tukang sihir ini mendakwa kerja mereka semakin mudah dengan adanya teknologi Internet. - Reuters

Ledakan teknologi Internet telah menyaksikan komuniti tukang sihir Romania memindahkan amalan usang mereka ke dunia siber.

Di negara Eropah Timur itu, terdapat kira-kira 4,000 tukang sihir yang sibuk mengumpan pelanggan dari serata Eropah, Asia dan Amerika Syarikat.

Buzea berkata, generasi muda adalah pihak yang bertanggungjawab dalam meyakinkan golongan berusia tentang trend swafoto, dan ibunya begitu cepat mengadaptasinya.

"Tiada apa yang berubah, amalan ini kekal sama, namun sekarang lebih mudah untuk kami berhubung dengan pelanggan antarabangsa,” ujar Mihaela Minca, yang mengajar anak perempuannya Buzea tentang amalan sihir itu.

Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka dikenakan pelbagai caj untuk tujuan dan akedah yang berbeza, contohnya bayaran 50 Euro dikenakan untuk ramalan nasib menggunakan kad Tarot.

Dalam perkembangan lain, tukang-tukang sihir itu juga memberi perhatian terhadap dunia politik dengan menyertai protes anti-rasuah.

Minca berkata, dia juga berhubung dengan sembilan tukang sihir lelaki dan wanita dari seluruh Eropah dan Amerika Syarikat, untuk bergabung tenaga meletakkan sumpahan terhadap penggubal dasar Romania yang dikenal pasti terlibat korupsi.

Tambahnya, mereka merancang untuk mengukuhkan kuasa global Internet lebih awal daripada pilihan raya Parlimen Eropah.