Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Pangkalan Udara Bulwagang Kalayaan, Villamor di sini pada jam 7.50 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Setiausaha Kabinet Jabatan Teknologi Maklumat, Elisio M. Rio, Jr. selaku wakil utama Kerajaan Filipina.
Beliau yang menaiki pesawat Kerajaan sebelum itu berlepas dari Kuala Lumpur ke sini kira-kira pukul 4 petang tadi.
Lawatan kali pertama beliau ke Republik ini sejak kali kedua menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mei tahun lalu bakal membuka tirai secara rasmi pada Khamis.
Pada sebelah pagi Khamis, beliau akan menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Filipina sebelum ke Istana Malacanang bagi acara sambutan rasmi oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Beliau sebelum itu akan mengadakan beberapa pertemuan seperti bersama bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Presiden Senat, Vincente SOHO III dan Penasihat Presiden bagi Majlis Penasihat Usahawan dan Perniagaan ASEAN, Jose Ma Concepcion III.
Selepas pertemuan itu, beliau dijadual meletakkan kalungan bunga di tugu pejuang kemerdekaan Filipina, Jose Rizal di Rizal Park di sini.

TunM
Dr Mahathir kemudian akan bersemuka dengan Duterte buat pertama kali di republik itu dalam acara sambutan rasmi di Istana Malacanang.
Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala yang bakal membincangkan isu-isu berkepentingan bersama meliputi ekonomi, perdagangan, keselamatan dan pembangunan.
Selepas itu, kedua-dua pemimpin bakal sepentas untuk menyampaikan kenyataan media bersama diikuti majlis makan malah yang dihoskan oleh Duterte.
Pada Jumaat pula, beliau dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya yang sama-sama berkhidmat sekitar tahun 90an, Fidel Valdez Ramos - Presiden Filipina ke-12 diikuti pertemuan dengan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Datu Abul Khayr Alonto.
Seperti amalan biasa beliau ketika lawatan ke luar negara, majlis bersama rakyat Malaysia mengakhiri lawatan tiga hari beliau ke republik ini sebelum berlepas pulang ke tanah air.