Donald Trump boleh bertemu Kim Jong Un namun ia bukan bermakna Amerika Syarikat berkompromi dengan tindak tanduk Korea Utara.

Sebaliknya negara itu tetap perlu terlebih dahulu mengotakan janjinya untuk menggantung program ujian nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Akhbar White House Sarah Huckabee Sanders dalam sidang medianya di White House pada Jumaat.

Menurutnya sekiranya janji itu tinggal janji, jangan harap pertemuan bersejarah itu akan berlaku.

“Pertemuan ini tidak akan berlaku tanpa tindakan kukuh dan sepadan dengan janji yang dibuat Korea Utara,” tegas Sanders.

Sanders turut ditanya mengenai kemungkinan pertemuan berkenaan tidak akan menjadi kenyataan.

“Banyak perkara boleh berlaku.

“Saya tidak boleh menilai setiap andaian yang ada di bumi ini. Apa yang boleh saya katakan presiden telah menerima undangan ini kerana kita mempunyai langkah yang kukuh dan sah,” jelasnya.

Penasihat keselamatan kebangsaan Korea Selatan Chung Eui-Yong dalam pengumumannya di White House pada Khamis memaklumkan Trump bersetuju untuk bertemu Jong Un pada Mei depan.

Malah Jong Un dilaporkan bersedia memeterai perjanjian dengan Trump bagi menyingkirkan senjata nuklear dari Semenanjung Korea.

White House pada Jumaat bagaimanapun enggan mengulas mengenai tarikh dan lokasi pertemuan bakal berlangsung.