Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bertegas negara itu akan mengekang kumpulan militan, termasuk pemberontak Kurdish, dan militan Daish yang mempergiat serangan sejak kebelakangan ini.

Jelas Erdogan, kumpulan pengganas tidak akan berjaya menggugat hasrat republik itu untuk menjadi antara sepuluh ekonomi paling kukuh di dunia.

"Tiada kumpulan militan, PKK, YPG, atau militan Daish yang akan berjaya menggugat Turki daripada mencapai misinya sebagai negara ekonomi kukuh di dunia," kata Erdogan.

Beliau turut menyifatkan mereka yang melancarkan serangan sebagai bukan kalangan jihad.

Kenyataan ini menyusul ketika korban insiden letupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Attaturk di Istanbul meningkat kepada 42 orang.

BACA: Serangan Istanbul: Angka korban meningkat - Gabenor

Turki turut mengumumkan perintah berkabung sebagai menghormati kematian mangsa dalam insiden itu termasuk beberapa orang warga asing.

Dalam pada itu, ratusan penduduk mengadakan perhimpunan di ibu negara sebagai protes terhadap kegagalan kerajaan mengekang serangan keganasan.

Mereka mendesak kepimpinan parti AKP yang diterajui kerajaan Erdogan agar berundur berikutan siri serangan sejak kebelakangan ini.

Turki sering menjadi sasaran serangan pengganas sejak 2013 selepas ia mengambil keputusan memerangi elemen keganasan.