BERJUTA keping duit baharu AUS$50 dicetak dengan ‘typo’ yang terlepas pandang oleh Reserve Bank of Australia (RBA) sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Kesilapan tersebut dikesan oleh seorang pendengar stesen radio Triple M yang mengirim gambar tertera perkataan ‘responsibility’ disalah eja sebagai ‘responsibilty’ sebanyak tiga kali pada wang kertas itu.

Menurut RBA, AUS$50 merupakan mata wang paling banyak diedarkan di Australia dan menyumbang kepada hampir setengah jumlah wang kertas yang digunakan di negara itu.



Wang kertas AUS$50 baharu itu mula diedarkan pada 18 Oktober 2018 dan memperkenalkan ciri-ciri keselamatan khusus untuk menghalang pemalsuan serta beberapa elemen sentuhan untuk golongan cacat penglihatan.

Turut dicetak pada wang kertas tersebut ialah wajah Edith Cowan iaitu wanita pertama yang dilantik sebagai Ahli Parlimen negara itu pada 1921 hingga 1924.

Perkataan yang disalah eja itu merupakan sebahagian daripada ucapan sulung Cowan dalam sidang Parlimen Australia Barat.

Cetakan pengulangan kenyataan Cowan (salah ejaan) pada wang kertas tersebut adalah seperti berikut: “It is a great responsibilty to be the only woman here and I want to emphasise the necessity which exists for other women being here.”

Salah seorang wakil daripada RBA dalam satu kenyataan kepada portal berita Reuters berkata, RBA sedar dengan kesilapan tersebut dan “ejaannya akan dibetulkan pada percetakan seterusnya”.

Dalam laporan terbaharu RBA, bank tersebut memaklumkan secara keseluruhannya sebanyak 227 juta keping mata wang telah diedarkan di negara itu pada 2017/2018 termasuk kira-kira 184 juta keping AUS$50 baharu itu.

RBA, bagaimanapun, tidak memberi respon kepada persoalan berapa jumlah sebenar nota baharu itu berada dalam edaran mata wang dan sama ada ia akan ditarik balik susulan kesilapan berkenaan.