PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau buat orang terharu sekali lagi.

Kali ini, Trudeau , 44 meraih pujian selepas beliau memberi penghormatan kepada komuniti Islam di negara itu dengan ucapan Hari Raya Aidilfitri.

Ia merupakan sebahagian daripada ucapan Trudeau sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, yang kini menjadi viral di kalangan netizen di sana.

Beliau turut meraih pujian ramai kerana memulakan ucapan itu dengan memberi salam.

“Pada hari ini, mari kita memberi penghargaan kepada komuniti Islam atas sumbangan mereka kepada negara ini.

“Kepelbagaian merupakan antara kekuatan negara ini, dan ini perlu dibanggakan,” katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.

Selain itu beliau turut menjelaskan bahawa Aidilfitri merupakan hari untuk mengeratkan siratulrahim.

“Umat Islam akan menunaikan solat pada waktu pagi, bersalaman dan berkongsi hidangan khas, iaitu jamuan siang mereka yang pertama dalam tempoh sebulan,” kata Trudeau.


Video berdurasi 62 saat itu kini mencatat 4.1 juta tontonan dan telah dikongsi sebanyak hampir 97,000 kali.

Ia mendapat pelbagai reaksi positif dari rakyat Kanada dan seluruh dunia.

Seorang pengguna sosial media, Moe Khatib berkata ini merupakan mesej yang paling dinantikan oleh umat Islam di Kanada.

“Sebagai seorang umat Islam di Kanada, mesej ini begitu bermakna. Terima kasih kepada rakyat Kanada yang lain yang menghormati kami, seperti mana kami menghormati mereka,” katanya.

Ahsan Khan nyata teruja ... “terima kasih Trudeau! Kanada di bawah kepimpinan anda telah mengetuai dunia dalam usaha untuk membangunkan masyarakat yang inklusif di mana kepelbagaian dihormati dan dihargai.”

“Di saat dunia mengecam Islam atas beberapa insdien (serangan keganasan), ada juga pemimpin yang berfikiran positif,” kongsi Noor Badshah.