Uganda berjanji untuk menghentikan kerjasama kententeraan dengan Korea Utara selepas kunjungan Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye ke Kampala pada Ahad.

Korea Utara, yang kini dalam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana keghairahan membina senjata nuklear, sudah sekian lama menghantar tentera untuk menjalani latihan ke Uganda.

Namun, Menteri Luar Uganda Sam Kutesa berkata, perhubungan itu akan berakhir.

“Kami memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Korea Utara berikutan hasil sekatan PBB. Polisi kami adalah untuk tidak menyokong program pembangunan senjata nuklear,” ujar Kutesa.

Perubahan keputusan itu berikutan pertemuan antara Presiden Uganda Yoweri Museveni dan rakan sejawatan dari Korea Utara, Park Geun-Hye, lapor AFP.

“Presiden Museveni berkata Uganda akan menguatkuasakan resolusi Majlis Keselamatan PBB, selain mengakui kerajaannya sudah menerima arahan untuk memutuskan hubungan ketenteraan dan kepolisan dengan Korea Utara,” ujar kenyataan rasmi kerajaan Uganda pada Ahad.

Uganda sejak tahun 1963 menjadi sekutu Korea Utara di Afrika dengan menjalin hubungan diplomatik.

Bermula 2007, Korea Utara menjalankan program latihan ketenteraan dan kepolisan dengan Uganda.

Museveni yang memimpin negara itu sejak 1986 dan kembali dilantik pada Februari untuk penggal kelima, pernah membuat tiga lawatan ke Korea Utara, dan bertemu mediang Kim Jong-Il, bapa kepada pemimpin sekarang Kim Jong-Un.