LONDON:Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung di negara itu berkuat kuasa 5 November hingga 2 Disember.

Perintah ini menyusul selepas kes positif COVID-19 di United Kingdom (UK) mencecah sejuta pada Sabtu.

Senada dengan pakar-pakar kesihatan, Johnson khuatir sistem kesihatan UK tidak mampu menampung pertambahan kes.

Tegas Johnson, ancaman terbesar terhadap kesihatan awam berpunca daripada kurangnya fokus dalam mengawal COVID-19.

"Amat kritikal untuk fahami bahawa ancaman terhadap kesihatan awam bukan kerana terlalu banyak tumpuan terletak pada COVID-19, tetapi sebaliknya kerana tidak cukup fokus dan gagal untuk mengawalnya.

"Sekiranya kita biarkan keluk jangkitan terus naik, risikonya adalah buat pertama kali dalam hidup kita, NHS tidak dapat bersedia untuk kita dan ahli keluarga kita," kata Johnson.

Antara larangan baharu termasuk menutup bar dan restoran, kecuali untuk makanan dibawa pulang.

Premis perniagaan lain juga diarah ditutup, selain yang menjual barang keperluan seperti makanan dan ubat.

Namun, sekolah, universiti dan tapak pembinaan masih dibenarkan dibuka.

UK merekodkan 21,900 kes baharu pada Sabtu, sekali gus mencecah lebih satu juta kes secara kumulatif.