Lelaki yang menjadikan penumpang bas sebagai tebusan selama lebih 12 jam di Lutsk, barat Ukraine, menyerah diri pada Selasa dan semua 13 tebusan turut dibebaskan, lapor agensi berita Xinhua, menurut pihak berkuasa.

"Tahniah kepada semua yang membantu untuk membebaskan tebusan di Lutsk.

“Nyawa manusia sangat bernilai, kita tidak mahu kehilangan sesiapa pun.Tidak ada tempat untuk keganasan di mana-mana negara," tulis Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di laman Facebook rasminya.

Menurut media tempatan, tembakan banyak kedengaran semasa operasi untuk membebaskan tebusan dijalankan, namun, tiada kecederaan dilaporkan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Arsen Avakov berkata pengganas yang merampas bas di Lutsk mempunyai rakan subahat.

"Rakan-rakannya sudah ditahan, seorang daripadanya berada di Kharkiv, bahan letupan turut dijumpai di sana," kata menteri itu.

Pengganas itu dikenali sebagai Maksim Krivosh, 45, dari bandar Dubno di barat Ukraine.

Kes kini disiasat di bawah akta jenayah keganasan Ukraine.

-- BERNAMA