Sejumlah dua juta umat Islam pada Rabu membanjiri Arab Saudi di mana Nabi Muhammad S.A.W. memberikan khutbah baginda yang terakhir ketika musim haji di sana.

Kebanyakkan umat Islam berkumpul di hadapan Gunung Arafah di mana mereka tidur selepas kepenatan dari perjalanan mereka dan menunaikan ibadah haji mereka.

Memegang payung berwarna-warni, umat Islam berjalan dalam lautan manusia sedang berpusu-pusu menuju kawasan pergunungan yang dikenali sebagai Lembah Uranah.

Di sini, Rasulullah dipercayai memberi khutbahnya yang terakhir kepada ribuan para sahabat selepas baginda mengetuai rombongan haji.

Sekumpulan pengawal keselamatan kelihatan mengawal kawasan persekitaran supaya tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

Di sepanjang perjalanan, kelihatan sekumpulan sukarelawan mengedarkan berkotak-kotak makanan dan botol air sejuk.

Untuk kebanyakkan warga Islam, menunaikan ibadah haji merupakan kemuncak cermin keimanan masing-masing.

“Kami merasa direstui … Sememangnya tiada kata dapat menzahirkan perasaan saya ketika berada di puncak gunung ini," kata Ruhaima Emma, warga Filipina berusia 26 tahun dan menambah dia berdoa untuk kebaikan semua."

Untuk Akram Ghannam, 45, dari Syria yang kini sedang dilanda perang, berada di Arafah adalah "perasaan yang tidak dapat digambarkan. Saya berdoa kepada Allah untuk kemenangan semua orang-orang yang tertindas."

Ramai tiba di Arafah menaiki bas dan ada yang berjalan dari kota suci Mekah kira-kira 15 kilometer (sembilan batu) jauhnya.

Jemaah lain tiba dari Mina menggunakan Keretapi Mashair yang menghubungkan tapak-tapak suci iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebuah bandar khemah di mana ramai jemaah bermalam pada Selasa.

Selepas matahari terbenam pada hari Rabu, mereka akan bergerak ke Muzdalifah. Di sana mereka akan mengumpulkan anak batu untuk melontar jumrah pada hari Khamis, iaitu Hari Raya Aidiladha yang disambut oleh 1.5 bilion umat Islam.

Mencari rahmat

Perhimpunan tahun ini mempunyai jumlah yang sama seperti tahun lepas, dengan 1.4 juta jemaah dari luar negara menyertai ratusan ribu rakyat Arab Saudi dan penduduk tempatan.

Mereka bagaimanapun tidak terjejas dengan tragedi kejatuhan kren pembinaan di Masjidilharam di Mekah awal bulan ini yang mengorbankan 109 orang, termasuk jemaah dari luar negara.

Kira-kira 400 orang cedera oleh kren yang digunakan untuk projek pembesaran kawasan Masjidilharam.
Sebelum ini ia dicemari oleh rempuhan dan kebakaran yang mengorbankan ratusan nyawa, namun tiada sebarang insiden telah berlaku sejak sembilan tahun lepas selepas penambahbaikan keselamatan.

Ibadah haji merupakan rukum Islam kelima dan setiap umat yang berupaya perlu melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Perhimpunan tahun ini berlaku ketika terdapat peningkatan keganasan jihad di beberapa negara Islam, lonjakan virus MERS yang berpotensi membawa maut dan perang di Yemen iaitu negara jiran Arab Saudi.

Kira-kira 100,000 polis telah dikerahkan untuk mengawal tapak-tapak suci dan mengawal orang ramai.

Pihak berkuasa berkata, mereka berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan oleh pihak pelampau, selepas kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) mengebom pasukan keselamatan dan masjid-masjid Syiah di negara itu dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Ibadah haji tahun ini juga berlaku ketika Arab Saudi mengetuai gabungan Arab menjalankan serangan udara dan menyokong kuasa-kuasa tempatan Yemen menentang pihak pemberontak yang disokong Iran.

Kebanyakan jemaah Yemen yang menunaikan haji tahun ini sudah berada di dalam Arab Saudi.
Antara cabaran lain yang dihadapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi adalah jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV).

Lonjakan dalam jangkitan meningkat pada bulan lepas tetapi pegawai-pegawai kesihatan mengatakan tidak pernah ada kes jangkitan MERS di kalangan jemaah.

Kementerian Kesihatan telah menggerakkan ribuan pekerja perubatan untuk membantu memastikan ibadah haji bebas dari virus dan untuk merawat penyakit lain.

Ibadah haji bermula pada hari Selasa dengan mengenakan ihram, keadaan suci di mana mereka tidak boleh bertengkar, memakai minyak wangi, atau memotong kuku atau rambut.

Semasa ihram, lelaki memakai dua helai kain putih, manakala wanita perlu memakai pakaian longgar, juga secara umumnya berwarna putih, dan hanya mendedahkan muka dan tangan mereka.

Pakaian itu melambangkan perpaduan mereka, tidak kira sama ada mereka menghabiskan haji di hotel-hotel bertaraf lima bintang atau di asrama biasa.

"Saya mengharapkan rahmat dan Allah menerima doa-doa kita," kata jemaah Pakistan, Abdeghafour Abu Bakar, 38, yang datang bersama rakan-rakan.