PRESIDEN Joe Biden mengumumkan hasrat mengundurkan baki tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan bermula 1 Mei depan.

Pengunduran sepenuhnya dijadualkan selesai menjelang 11 September.

Katanya pada sidang media di White House pada Rabu, sudah tiba masanya Amerika menamatkan perang paling panjang, iaitu sejak 2001.

Pengunduran ini, secara signifikannya, dibuat pada tanggal ulang tahun ke-20 serangan pengganas pada 11 September 2001.

Ia juga menandakan keputusan dasar luar paling signifikan buat Biden selepas mentadbir.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 2,500 anggota tentera Amerika masih berkhidmat di Afghanistan. 

BACA: Tentera AS bakal berundur dari Afghanistan 11 Sept depan

Mereka adalah sebahagian daripada misi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Saya rumuskan sudah tibanya menamatkan perang paling panjang Amerika. Sudah tiba masanya tentera kembali ke tanah air.

"Apabila saya dipilih, saya mewarisi perjanjian diplomatik dengan kerajaan Taliban, yang mana tentera akan berundur dari Afghanistan menjelang 1 Mei 2021, tiga bulan selepas saya mengangkat sumpah.

"Komitmen ini yang diwarisi. Ini adalah perjanjian yang dibuat kerajaan Amerika Syarikat. Ia memberi makna tersendiri.

"Mengotakan janji ini adalah kepentingan nasional. Amerika akan mula mengundurkan tentera pada 1 Mei tahun ini," katanya.

Jelas Biden, Amerika akan kekal menyokong rundingan pelan damai Afghanistan selepas pengunduran selesai.