GOLDMAN Sachs menyemak semula keuntungan suku kedua kepada lebih rendah susulan penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak AS$3.9 bilion yang dicapai bersama kerajaan Malaysia.

Memetik laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat, penyelesaian yang dicapai mengurangkan keuntungan syarikat sebanyak AS$2 bilion kepada AS$373 juta untuk suku tersebut.

Pada suku kedua, Goldman Sachs mencatat keuntungan sebanyak AS$2.4 bilion, satu keputusan yang dilaporkan stabil biarpun dengan COVID-19 yang memberi kesan kepada bank lain.

CNBC melaporkan, bank berkenaan sebelum ini hanya memperuntukkan AS$945 juta untuk kos berkaitan undang-undang dan peraturan untuk suku kedua.

Goldman Sachs dalam masa yang sama turut memperuntukkan AS$2 bilion tambahan untuk sebarang perkara undang-undang pada suku kedua.

Ini dijangka digunakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan dakwaan berkaitan dengan 1MDB.

Sebelum ini, Pendakwaraya Persekutuan AS menuduh Goldman Sachs melanggar undang-undang anti rasuah dalam urus niaga dengan 1MDB demi mendapat yuran sehingga AS$600 juta.

WSJ dalam laporannya pada Disember berkata, pendakwaraya AS ingin pengakuan bersalah dan mengenakan denda AS$ 2 bilion ke atas anak syarikat Goldman Sachs dan memantau prosedur pematuhan bank berkenaan.

Kes 1MDB, menurut WSJ, dijangka libatkan penalti yang lebih tinggi kepada Goldman Sachs, melangkaui AS$5.1 bilion yang dibayar susulan penyiasatan kerajaan AS berkenaan urus niaga gadai janji yang akibatkan krisis gadai janji di AS pada 2008.

Pada ketika itu, Goldman Sachs mendakwa tidak berlaku sebarang salah laku dan urusannya.

Sebelum ini Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah penyelesaian yang dicapai bersama Goldman Sachs adalah peningkatan ketara jika dibandingkan dengan tawaran kepada kerajaan pada 2019 sebanyak AS$1.75.

Menurut Tengku Zafrul, penyelesaian AS$3.9 bilion merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan.