BEBERAPA penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) memberi penghormatan kepada aktivis dan ikon gerakan hak sivil, mendiang John Lewis yang meninggal dunia minggu lepas.

Antaranya, Speaker Dewan Kongres, Nancy Pelosi yang hadir di upacara tertutup di Rotunda sebelum keranda mayatnya dipindahkan untuk penghormatan awam.

Upacara berlangsung dengan pematuhan SOP untuk langkah pencegahan COVID-19.

Ini termasuk meletakkan peringatan mengenai pemakaian wajib pelitup muka.

Sebilangan anggota Parlimen yang hadir memakai pelitup muka tertulis 'good trouble' merujuk kepada slogan popular digunakan mendiang.

Rakaman audio ucapan Lewis mengenai kepentingan merapatkan jurang ketidakadilan sosial turut diperdengarkan di upacara berkenaan.

Lewis meninggal dunia 17 Julai lalu pada usia 80 tahun selepas bertarung nyawa akibat barah pankreas.

Sejak 1961, Lewis merupakan antara aktivis kemanusiaan termuda terlibat dengan pelbagai siri demonstrasi bersama kumpulan Freedom Riders yang menentang isu hak asasi sehingga muncul antara tokoh aktivis yang lantang bersuara demi keadilan dan kesamarataan hak bagi rakyat AS.