Seorang warga emas maut apabila ritual penyembuhan yang dilakukan kaum keluarganya berakhir tragedi.

Mangsa, Tukinem, 51 tahun, meninggal dunia di halaman rumahnya sendiri di Trenggalek, Jawa Timur pada Ahad.

Ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang menjalani satu upacara kesyukuran untuk salah seorang anaknya yang baru sahaja sembuh daripada sakit.

Namun di pertengahan upacara itu, Tukinem mengeluh sakit perut dan sesak nafas.

Percaya bahawa kesakitan itu berpunca daripada semangat jahat, anak mangsa Rini Astuti terus melakukan upacara penyembuhan dengan menyiram air ke tubuh ibunya.

Upacara itu kemudiannya diteruskan dengan memasukkan ikan bilis ke dalam mulut ibunya untuk mengeluarkan semangat jahat.

Setelah itu, Rini memasukkan pula tuala ke dalam mulut ibunya dan menyalurkan air ke dalam mulut ibunya selama setengah jam.

Tukinem dilaporkan meninggal dunia akibat lemas.

Rini yang merupakan suspek utama ketika ditahan berkata dia kesal dengan insiden yang menimpa ibunya dan tidak menyangka usahanya itu telah meragut nyawa ibunya sendiri.

“Awalnya saya yakin penyakitnya akan sembuh dengan upacara ini, tapi saya tak terfikir pula ibu saya akan sesak nafas.”

Apabila ditanya siapa yang mengajar upacara itu, menurutnya tiada seorang pun yang tahu.

“Kami melakukan upacara itu atas kesepakatan bersama.”

Hasil bedah siasat mendapati ada lebam di mulut mangsa dipercayai kesan kemasukan hos untuk mengalirkan air.

Selain itu organ dalaman mangsa seperti rongga dada, saluran nafas dan paru-paru mayat juga dipenuhi air.

Tujuh suspek terdiri daripada ahli keluarga mangsa ditahan untuk membantu siasatan.