JANGAN terkejut jika anda melihat haiwan memakai lampin pakai buang kerana perkara itu memang berlaku!.

Sekawan kambing biri-biri di Brazil dipakaikan mikrofon dan lampin pakai buang oleh saintis di negara itu.

Memetik laporan Daily Mail, kaedah itu bertujuan mengumpul maklumat mengenai jumlah pengeluaran susu kambing terbabit.

Mikrofon dipasang bagi memastikan ternakan itu menelan rumput yang diragut di kawasan padang.

Sementara lampin pakai buang berfungsi menadah najis dan air kencing haiwan itu.

Kemudian, sisa buangan itu akan ditimbang bagi mendapatkan maklumat mengenai jumlah rumput yang dihadam kambing biri-biri berkenaan.

Menurut kumpulan penyelidik daripada syarikat kajian Agrikultur dan Lanjutan Pedalaman di selatan Brazil, pendekatan itu diharap mampu membantu mereka mengenal pasti ukuran panjang rumput.

Dengan usaha itu, pengeluaran susu kambing biri-biri dapat ditingkatkan ke tahap maksimum.

Haiwan-haiwan tersebut diletakkan di kawasan yang mengandungi rumput hibrid Axonopus Catharinensis.