PRESIDEN Donald Trump berharap vaksin COVID-19 akan dapat berada di pasaran pada akhir tahun ini.

Katanya, kerajaannya dan pihak swasta sedang membangunkan vaksin tersebut sejak awal Januari dan mereka secara amnya bekerja 24 jam sehari.

"Mereka telah mula sebenarnya. Sejak awal Januari lagi. Dan mereka sedang mengusahakannya (membangunkan vaksin).

"Saya tahu begitu banyak syarikat swasta telah mengusahakannya. Kerajaan juga turut sama.

"Jadi, kita mempunyai masa, kerana kita benar-benar berusaha, dan mereka bekerja 24 jam sehari. Dan kami berharap dapat melakukan sesuatu sebelum akhir tahun ini atau tidak lama selepas itu," katanya.

Bercakap pada satu majlis di Rose Garden, White House, pada Jumaat, Trump bagaimanapun berkata, beliau percaya virus itu tetap akan hilang walaupun tiada vaksin.

"Penyakit lain sebelum ini ada yang tiada vaksin, tetapi tetap hilang juga. Oleh itu, saya tidak mahu anda fikir bahawa semuanya bergantung kepada vaksin.

"Tetapi jika ada vaksin, memanglah sangat baik," tambahnya.

Jelas Trump, semua negara seluruh dunia sedang bekerjasama untuk memastikan usaha itu bersifat global dan menurutnya, tidak perlu wujud perasaan ego antara satu sama lain.

Ujarnya, sesiapa sahaja yang berjaya membangunkan vaksin adalah hebat dan pihaknya akan bekerjasama dengan mereka, begitu juga sebaliknya.

Bekas Eksekutif GlaxoSmithKline, Moncef Slaoui, yang telah diarahkan Trump untuk pembangunan vaksin di Aamerika berkata, beliau yakin data percubaan awal menunjukkan, beberapa ratus juta dos vaksin akan dihantar pada lewat 2020.