MARYLAND: Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat melanjutkan tempoh penyimpanan vaksin COVID-19 satu dos Johnson & Johnson daripada tiga bulan kepada 4 setengah bulan.

Ini susulan jutaan bekalan vaksin tersebut didakwa akan tamat tempoh bulan ini.

Pengumuman tersebut menyusul selepas pihak berkuasa tempatan memberi amaran bahawa jutaan dos vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dalam penyimpanan kini akan tamat tarikh luput pada akhir Jun.

Untuk rekod, tarikh tamat vaksin tersebut adalah berdasarkan data yang dihantar oleh pengilang kepada badan pengawal selia dengan membuktikan tempoh kadar keberkesanan yang tepat.

Sebelum ini FDA membenarkan vaksin tersebut disimpan sehingga tiga bulan dalam peti sejuk biasa dengan suhu dua hingga 8 darjah Celcius.

Menurut Johnson & Johnson, keputusan FDA ini adalah berdasarkan data kajian sedia ada yang mendapati vaksin tersebut masih boleh digunakan sehingga 4.5 bulan apabila disimpan dalam peti sejuk dengan suhu yang sama.

Ketika ini, pihak hospital dan kerajaan negeri di Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan sama ada untuk menggunakan jutaan dos vaksin tersebut atau sebaliknya.

Daripada 21.4 juta dos vaksin yang telah diedarkan ke seluruh negara, hanya 11.2 juta sudah didaftarkan atau disuntik.

Ini bermakna 50 peratus lagi daripada bekalan tersebut masih belum digunakan.