PELBAGAI usaha dijalankan negara yang terlibat bagi membendung penularan koronavirus, COVID19.

Di Vietnam misalnya, Kementerian Kesihatan negara itu mengeluarkan video animasi dengan lirik bagi mendidik rakyat berkenaan virus COVID-19 itu.

Video itu yang berlatarbelakangkan lagu pop Jealous atau “Ghen” dalam bahasa Vietnam yang dinyanyikan Erik dan Min.

Antara lain, ia mendapat perhatian di media sosial menerusi aplikasi TikTok yang dihasilkan bersama tarian menarik... memaparkan keperluan membasuh tangan dan langkah-langkah keselamatan lain.

Ia dipopularkan oleh penari dan personaliti internet, Qang Dang, yang mempunyai hampir 300,000 pengikut di TikTok dan Instagram yang disertakan sekali dengan tanda pagar #ghencovychallenge.



Dalam video tersebut, Kementerian Kesihatan Vietnam turut memberi kata-kata semangat buat semua petugas yang bertungkus lumus merawat dan memerangi virus berkenaan.

“Kita mahu lagu ini sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan kepada mereka yang berdepan isu ini termasuk pakar, doktor, pekerja perubatan dan jutaan yang berada di hadapan memerangi virus ini,” katanya

Sehingga kini, Vietnam mengesahkan 16 kes COVID-19, namun kesemua pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Vietnam yang berkongsi sempadan dengan China mengambil langkah terbaik untuk menangani virus itu termasuk meletakkan sebuah kampung di bawah kuarantin selepas lima kes disahkan dari China.