Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa beliau berharap agar White House akan mempertimbangkan semula tindakan untuk menyekat dana kepada WHO.

Namun, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa fokusnya tertumpu kepada menamatkan pandemik COVID-19 dan menyelamatkan nyawa di serata dunia.

Katanya, terdapat trend peningkatan yang membimbangkan pada tahap awal pandemik di beberapa bahagian di Afrika serta Amerika Tengah dan Selatan.

“Kebanyakan negara masih berada dalam peringkat awal epidemik dan beberapa negara awal terjejas kini menyaksikan kebangkitan semula kes,” kata Tedros di sidang media secara dalam talian.

“Kita masih ada perjalanan yang amat jauh. Virus ini akan kekal untuk masa yang panjang,” kata beliau.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lepas mengkritik cara WHO menangani pandemik berkenaan serta mengambil keputusan untuk menyekat dana Amerika kepada pertubuhan itu.

Dalam masa yang sama, Setiausaha Negeri Mike Pompeo pada Rabu pula menyatakan bahawa kerajaan China dipercayai gagal melaporkan lebih awal tentang wabak koronavirus baharu itu kepada WHO.

“Saya berharap penyekatan dana akan dipertimbangkan dan Amerika akan sekali lagi menyokong usaha WHO dan terus menyelamatkan nyawa,” kata Tedros.

“Saya berharap Amerika percaya bahawa ini satu pelaburan yang penting, bukan sahaja untuk membantu pihak lain tetapi juga supaya Amerika kekal selamat.”

Pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan menyarankan agar kerajaan tidak tergesa-gesa untuk membuka semula ekonomi dan pintu masuk negara dengan terlalu cepat, kerana ia memerlukan “pengurusan risiko yang berhati-hati”.