KERAJAAN United Kingdom menubuhkan unit untuk menafikan berita palsu, termasuk yang disebarkan oleh Rusia, berkenaan virus korona yang disebarkan bagi menimbulkan onar.

Syarikat media sosial ternama dunia dijemput kerajaan UK untuk bekerjasama dalam usaha membanteras apa yang disifatkan sebagai virus maklumat.

Kerajaan UK yang berpejabat di Whitehall sedar terdapat pihak yang mempunyai niat buruk mengekspolitasi krisis virus korona yang sedang melanda.

Pihak tersebut bergerak aktif dengan penyebaran mitos tentang wabak menggunakan media sosial.

Taktik yang diguna termasuk menimbulkan kegusaran terhadap kemungkinan kehabisan barangan keperluan di pasaran.

Walaupun berita pasaraya kehabisan barangan seperti pasta, tisu tandas dan bahan pencuci memang benar berlaku, cara berita itu ditokok tambah dan kekerapan disiar memberi gambaran di luar konteks sebenar.

Gambar warga UK mundar mandir bertopeng muka turut disebar meluas walaupun konteks sebenar gambar tersebut diguna dengan cara yang tidak bersesuaian.

Pihak pentadbiran Amerika Syarikat pernah mendakwa wujud beberapa akaun media sosial dikaitkan dengan Rusia yang dilancar bertujuan menyebar berita palsu dan menabur fitnah.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan UK Oliver Dowden menegaskan usaha melawan penularan COVID-19 kini turut melibatkan mematahkan serangan penaburan berita palsu. Apatah lagi apabila berita itu berasal dari negara yang ada berniat buruk terhadap UK.

Sebelum ini, Rusia terlibat dalam usaha menyebar berita palsu dalam kes cubaan membunuh bekas agen Rusia bersama anaknya yang berpaling tadah menggunakan racun Novichok di UK.

Media sosial diperlat seluas luasnya oleh Rusia menyebar pelbagai berita yang direka bertujuan menimbulkan keraguan terhadap siasatan pihak UK.

Rusia menafikan tuduhan tersebut. Sebaliknya, menyifatkan kesemua usaha mengaitkan penggunaan media sosial bagi tujuan menyebar berita palsu dari pihak Rusia sebagai BERITA PALSU.