Tutup

Berita  | Dunia

'Vlad tu apa, Vostok tu di mana?'

'Vlad tu apa, Vostok tu di mana?'
Disebabkan jauh beribu batu, perjalanan pergi-balik melalui udara menjadikan durasi tugasan ini, satu minggu lamanya.
Dua wartawan Awani – saya bersama jurukamera Mohamad Rozi Mat Sani kini di Vladivostok, Rusia. Ikuti coretan pertama perjalanan berkelana, anak Malaysia ke luar negara.

JIKA anda terima jemputan ke Rusia - bukan untuk tujuan merisik calon isteri kerabat istana, adakah anda gembira teruja, atau keliru, garu kepala?

Jika diberitahu destinasi nak dituju - Vladivostok; anda tentu akan tersentak sekejap - "Vladi itu apa… Vostok itu di mana…?". Mungkin itulah akan terpacul, sebagai reaksi pertama.
Saya? Bukan sekadar berkongsi cerita - arahan diterima, ditugaskan ke sana!

Tak lama, dua hari sahaja. Tetapi disebabkan jauh beribu batu (5,349km memisahkan Kuala Lumpur dari Vladivostok) perjalanan pergi-balik melalui udara menjadikan durasi tugasan ini, satu minggu lamanya.


Belum kenal, macam mana nak jatuh cinta? Mari kita ingat kembali, ilmu geografi yang dulu dipelajari.

Mulakan bicara - ucap 'prviyet' kepada sesiapa, pertama berjumpa, yang bermaksud 'hello' atau 'hi' atau 'ahlan wasahlan' sebagai pembuka kata.

Jika melayu ada Jawi - bangsa Slavic, Turkic - dan Ruski, ada cyrrillc - tanpa kekecohan nak hidup semula mahupun menghapus tradisi menulis atau membaca.
Приве́т (Privyet)

Vladivostok merupakan kota paling timur dalam negara yang paling besar di dunia ini - Rusia. Kuala Lumpur lebih dekat kerana ibu negara Rusia - Moscow, 9.131km jauhnya ke barat Vladivostok.

Jika bahasa dan pengetahuan tempatan menjadi halangan, cari Daniya. Bukan pegawai Rusia, tetapi anak watan, umur 25 tahun, pemilik pasport Malaysia.

Rupa rupanya, ada seorang anak muda, asal Kulim, yang secara diam-diam sudah secara peribadi menjadi duta kecil Malaysia sepanjang lima tahun sejak tahun 2015 menetap di Vladivostok.

Apa agaknya dibuatnya di sana (di sini); begitu lama bertahan berkelana?

Orang tempatan kenal sangat Amirul Daniel Sobri, graduan jurusan Kejuruteraan Minyak dan Gas di Far Eastern Federal University atau FEFU Vladivostok.

FEFU ditubuhkan pada tahun 1899 dan menumpukan penghususan pembelajaran dalam bidang sosio poltik berserta latihan untuk pentadbiran, perdagangan dan menyumbang pertumbuhan institusi pembangunan dan industri negara negara di rantau Timur Jauh.

Bermula dari 'kosong', Amirul berusaha menguasai Bahasa Rusia dalam tempoh tiga bulan pertama setelah menjejak kaki ke Vladivostok.

Kalangan 'babushka' – warga Vladivostok berpangkat makcik dan nenek yang ditemuinya melayan Amirul dengan mesra seperti anak sendiri.

Amirul masih ingat peristiwa pahit yang menimpanya pada awal ketibaan memulakan pelajaran di Vladivostok.

Jalan licin bersalji menyebabkan Amirul terjatuh dan cedera buku lali.

Pada waktu itulah kalangan pensyarah, rakan pelajar dan babushka tempatan banyak membantu dan memberi kata kata semangat hinggalah Amirul pulih.

Tidak hairanlah mereka yang mengambil berat tentang kesihatannya semakin rapat hinggakan mereka memanggilnya Daniya, satu nama timangan yang biasanya diberi kepada anak remaja tempatan.

sudah secara peribadi menjadi duta kecil Malaysia sepanjang lima tahun sejak tahun 2015 menetap di Vladivostok.

Saya sempat bertemu Amirul di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Vladivostok untuk mendapat sedikit sebanyak gambaran tempat, adat dan gelagat yang bakal saya ketemu sepanjang tugasan nanti. Apa yang penting sudah tentunya  kebolehan dan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Rusia dalam sebarang sebarang usaha.

Sepanjang menghabiskan belajar lima tahun di Vladivostok, Amirul mampu membuat tugasan sampingan menjadi perantara dan pembantu untuk melicinkan usaha perhubungan antara bangsa secara sukarela.

Pendek kata, Amirul memberi sumbangan penting membantu 'liaison man' untuk delegasi jemputan dalam usaha usaha diplomatik dua hala negara Asia dengan Rusia.

Amirul dengan rela hati membantu mana mana delegasi dari Asia; termasuk dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang membuat kunjungan ke Vladivostok dari segi mengatur program, berkomunikasi dan menentukan perjalanan urusan berjalan lancar.

Berbalik kepada keunikan nama kota ini. Vladi atau Vlad bermakna penguasaan atau atau pemerintahan; sementara Vostok pula bermakna timur.

Bagi peminat filem Hollywood, ingat Yul Bryner? Bryner yang terkenal dengan watak Raja Siam dalam King of Siam adalah anak jati Vladivostok.

Satu lagi tarikan ialah kedudukan Vladivostok sebagai titik permulaan perkhidmatan kereta api Trans-Siberian sepanjang 9,289km dan berakhir di Moscow di Eropah.

Mustahil saya dapat melawat kesemua daya tarikan pelancungan yang menjadikan kota Vladivostok ini begitu popular dengan pengunjung antarabangsa, termasuk kalangan pelancong tegar dari Malaysia.

Ikuti coretan perjalanan ke Vladivostok dari masa ke masa.

Dasvidania dari Vladivostok, 
до свидания (goodbye)