SEORANG wanita berusia 93 tahun telah digari dan dipenjara selepas enggan meninggalkan rumah jagaan orang tua kerana gagal menjelaskan bayaran sewanya.

Lapor The Independent pada Khamis, Juanita Fitzgerald dari Lake County, Florida telah diberkas kerana enggan keluar dari komuniti perumahan Franklin House Residences Church.

Polis berkata, dia diberi notis pengusirannya sejak Isnin, tetapi gagal meninggalkan bangunan tersebut pada hari berikutnya.

Menurut laporan polis yang dilihat oleh stesen itu, Fitzgerald memberitahu pegawai bahawa dia takkan sesekali keluar dari bangunan tersebut.

Jurucakap Sheriff Lake County berkata seorang timbalan cuba untuk menghubungkan Fitzgerald dengan ahli keluarganya dan kemudahan perumahan lain, tetapi dia enggan.

Dia juga didakwa menolak tawaran untuk tinggal bersama seorang jururawat yang bekerja di sana.

Hakim akhirnya membuat keputusan menyerahkan Fitzgerald kepada penjaga, dan perbicaraan semula ditetapkan pada Disember ini.