Seorang wanita di Indonesia yang didakwa menghina agama Islam kerana membawa seekor anjing ke dalam sebuah masjid terlepas hukuman penjara.

Semalam, sebuah mahkamah di Bogor mendapati Suzethe Margareth, 52, bersalah atas tuduhan itu, namun memutuskan untuk tidak mengenakan hukuman penjara ke atasnya kerana wanita tersebut menderita skizofrenia paranoid.

Sebelum ini, pendakwa raya menuntut hukuman penjara sembilan bulan dikenakan terhadapnya.

Suzethe mencetuskan kemarahan orang Islam selepas sebuah rakaman video memaparkan perbuatannya yang turut memakai kasut dan membiarkan anjing tersebut berkeliaran di dalam masjid itu ketika kejadian pada Jun tahun lalu.

Menerusi keterangannya, Suzethe mendakwa dia memasuki masjid terbabit kerana dikejar dan wanita itu turut mendengar suara yang menyatakan suaminya berkahwin di situ.

BACA: Kecoh! Wanita pakai kasut, bawa anjing dalam masjid di Bogor

Wakil masjid tersebut yang terletak berhampiran Jakarta, Ruslan A Suhady bagaimanapun menolak alasan menggunakan masalah kesihatan mental yang dialaminya.

“Orang kurang siuman biasanya dalam keadaan tidak terurus. Tetapi, wanita itu memakai pakaian yang bersih,” tegasnya.

Difahamkan, anjing itu mati dilanggar kereta tidak lama selepas insiden tersebut. - Agensi