KUDLU: Seorang wanita dilapor dibelasah suaminya hanya kerana mengingatkan suspek untuk membayar yuran persekolahan anak sulung mereka. 

Dalam kejadian di Kudlu, India, mangsa berusia 39 tahun itu dilapor dipukul dengan kerusi dan rak perkakas dapur, lapor Bangalore Mirror.

Lelaki berkenaan yang berang dengan permintaan isterinya terus menyerang wanita itu dan menuduh mangsa punca keluarga mereka dilanda musibah kewangan.

Anak sulung mereka yang sedang mengikuti kelas dalam talian datang membantu ibunya, namun ditampar dengan kuat sebanyak tiga kali sebelum dihalau ayahnya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dilapor pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis selepas mendapati wujud tanda-tanda berlaku penderaan domestik.

Kes disiasat atas tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya, mengancam dan menggugat keamanan.

Bagaimanapun suspek masih belum ditahan.

Pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua anak berusia sembilan dan tujuh tahun.