Seorang wanita di India menderita kesakitan apabila lidahnya melecur akibat dicucuh besi panas oleh seorang bomoh bertujuan untuk menghalau roh jahat.

Wanita itu Jatha Devi, 25, dari Pali, Rajasthan pada awalnya dibawa suami untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan setelah beberapa hari berasa tidak sihat.

Apabila kesihatan Jatha semakin merosot, seluruh ahli keluarganya menyangka terdapat roh jahat di dalam tubuh wanita berkenaan.

Ibu bapa mangsa, Bhanwar Lal dan Sanjini Devi akhirnya membuat keputusan untuk membawa wanita itu berubat dengan seorang bomoh bernama Jairam Bhat pada Ahad, lapor Dailymail.

Semasa rawatan dijalankan, bomoh tersebut dengan tanpa rasa belas kasihan menekap besi panas di bahagian mulut, lidah, dahi dan lengan mangsa selama dua hari.

Hasil rawatan itu membuatkan wanita itu meraung kesakitan akibat luka dan lecur yang sangat teruk.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Bangar di Jodhpur dan suaminya membuat laporan polis terhadap bomoh tersebut yang kemudiannya ditahan kerana mencederakan mangsa.

Sementara itu, doktor psikiatri yang merawat mangsa berkata wanita berkenaan mempunyai masalah kesihatan mental yang dikenali sebagai psikosis akut di mana pesakit biasanya akan mengalami halusinasi, kesukaran bercakap, keresahan, kekeliruan dan insomnia.

Tambahnya, penyakit itu masih boleh dirawat dalam masa tidak melebihi enam bulan.