Wanita dipenggal, otak dijamah kerana bercakap bahasa Inggeris

Astro Awani
Disember 7, 2019 23:26 MYT
Suspek yang dikenal pasti sebagai Lloyd Bagtong ditahan. -Foto media sosial
Percaya atau tidak, seorang wanita di Filipina dipenggal dan otaknya dijamah hanya kerana bercakap dalam bahasa Inggeris.
Wanita malang yang identitinya belum dikenal pasti itu sebelum itu dilihat bersama seorang lelaki sebelum kelibatnya tidak lagi kelihatan.
Susulan kejadian, suspek iaitu seorang lelaki dari wilayah Misamis Oriental ditahan pada Jumaat.
Menurut polis, suspek yang dikenal pasti sebagai Lloyd Bagtong, 21, kemudiannya menunjukkan lokasi di mana jasad wanita itu disembunyikan.
Mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel kira-kira 4km dari rumah suspek di Barangay Punta tanpa kepala dan kedua-dua tangan diikat.
Menurut laporan Daily Tribune, suspek ternampak mangsa berhampiran sebuah tanah perkuburan dan bertindak memukulnya dengan objek logam sebelum memenggal kepalanya menggunakan alat seperti sabit.
"Senjata tersebut ditemui terselit di pinggang suspek.
"Suspek juga makan otak mangsa bersama nasi yang dimasak. Dia kemudiannya membuang tengkorak mangsa ke sebuah lubang tidak jauh dari rumahnya," kata jurucakap polis.
Menurutnya lagi, suspek dipercayai mengalami masalah mental berdasarkan kenyataan daripada saksi yang mengenalinya.
"Suspek berkata mangsa dibunuh kerana bercakap dalam bahasa Inggeris yang mana telah menyebabkan suspek berasa jengkel kerana tidak memahaminya," katanya.
Menurut saksi, sebelum kejadian mereka ada melihat suspek dan mangsa bersama.
Polis turut menemui kain dengan kesan darah di rumah Bagtong yang dipercayai digunakan untuk membawa kepala mangsa dari tempat kejadian ke rumahnya.
Bagtong kini berada dalam tahanan polis dan menunggu kes pembunuhan difailkan terhadapnya.
Identiti mangsa juga sedang disiasat.
#Barangay Punta #bercakap dalam bahasa Inggeris #kepala dipenggal #Lloyd Bagtong #Misamis Oriental #otak dijamah #sabit #tanah perkuburan