MISTERI kehilangan seorang wanita sejak seminggu lalu terungkai apabila orang awam dan pasukan polis menemui mayat wanita itu di kawasan perumahan Perumahan CGA, Kabupaten Bogor.

Kehilangan wanita itu pada 17 Mac lalu menjadi tanda tanya apabila dia tidak tiba ke tempat temu janji dengan pelanggan.

Malah, penemuan mayat wanita itu membongkar misteri apabila dia dikatakan dirompak dan dibunuh oleh pemandu teksi online yang juga pasangan kembar.

Mangsa Yun Siska Rohani, 29 tahun dikatakan telah dirompak dan dibunuh dengan kejam oleh pasangan kembar yang bekerja sebagai pembawa teksi online itu.

Ketika mayatnya ditemui, tiada identiti ditemukan namun tangan mangsa terikat dan kepalanya diserkup plastik, lapor Tribunnews.com.

Sebelum kejadian, Yun Siska Rohani yang merupakan perunding perkahwinan di Jakarta menggunakan perkhidmatan teksi online itu untuk menghantarnya dari sebuah hotel ke hotel yang lain atas urusan kerja.

Sebaik sahaja mendaftar perjalanan menggunakan perkhidmatan teksi online itu, pemandu terbabit tidak terus menghantarnya ke lokasi yang dituju sebaliknya membawa mangsa berpusing-pusing.

Suspek juga dikatakan mengikat tangan mangsa dan mengugutnya untuk menyerahkan wang tunai selain memaksa Yun Siska mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Difahamkan, kedua-dua suspek meminta wang RM6,000 (IDR20 juta).

Gagal untuk mendapatkan wang itu, suspek meneruskan perjalanan ke arah Bogor sebelum mencekik leher mangsa hingga meninggal dunia sebelum keluar sebuah plaza tol.

Mangsa turut diancam menggunakan samurai dengan keadaan tangan dan mulut diikat.

Ketua Polis Bogor, AM Dicky dalam berkata, kedua-dua suspek merancang untuk melakukan rompakan dan penyeksaan penumpang teksi online.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditahan di rumah mereka.

Sementara itu, bapa mangsa, Supandi reda dengan pemergian anaknya dan berharap agar tindakan setimpal dikenakan ke atas suspek.