SEORANG wanita ditemui sesak nafas hingga mati apabila tercekik 33 ulas bawang putih di sebuah flat di Ba Dinh, Hanoi.

Wanita berusia 20 tahun itu dan seorang artis pop Vietnam bersama dua lagi rakan mereka datang ke flat berkenaan untuk menyertai satu parti pada Isnin.

Polis kemudiannya mendapati terdapat 33 ulas bawang putih pada kerongkong mangsa dan punca kematian akibat sesak nafas, menurut media tempatan Vietnam.

Sehubungan itu, polis menahan seorang artis pop Vietnam terbabit yang dikenali sebagai Nguyen Viet Cuong, 40 tahun.

Polis memberitahu, hasil soal siasatan mendapati, Nguyen mendakwa gadis itu dirasuk oleh roh jahat dan membunuh wanita berumur 20 tahun itu sebagai sebahagian upacara exorcism.

"Beberapa jam selepas kononnya dirasuk, Nguyen bertindak memasukkan beberapa ulas bawang putih ke dalam mulut mangsa sebagai rawatan," katanya lapor Tuoi Tre News.

Polis percaya mangsa dan rakannya berada dalam pengaruh dadah hingga menyebabkan mereka mengalami halusinasi.