Berita  | Dunia

Wanita parah dipukul suami dengan alasan halau roh jahat

Wanita parah dipukul suami dengan alasan halau roh jahat
Washington Ribeiro dikatakan menggunakan pelbagai jenis alatan untuk mencederakan isterinya. - Foto Sinar Harian
ANAPOLIS: Seorang wanita dilapor menjadi mangsa dera suami sendiri yang kononnya menjalankan upacara menghalau roh jahat.

Mangsa berusia 31 tahun dikurung oleh suaminya, Washington Ribeiro, 30, di rumah mereka yang terletak di bandar Anapolis, Brazil.

Selain dipukul berulang kali, ibu beranak satu itu turut diugut akan dijadikan 'korban' kepada roh jahat sekiranya dia menceritakan apa yang dialaminya kepada sesiapa.
Namun, pada 11 Mac lalu, ketika suaminya keluar membeli barang, mangsa dan anak perempuannya berusia setahun berjaya melarikan diri dan melaporkan penderaan tersebut kepada pihak polis.

"Mangsa tiba di balai polis dalam keadaan sangat lemah dan badannya dipenuhi lebam dan luka," kata ketua balai polis, Marisleide Santos sambil menambah mangsa mendakwa menjadi mangsa keganasan domestik dan keadaan bertambah buruk apabila suaminya menjalankan upacara menghalau roh jahat.

Mangsa berusia 31 tahun dikurung dan dipukul oleh suaminya yang kononnya menjalankan upacara menghalau roh jahat.

Menurut polis, rumah yang didiami mangsa dan suaminya yang dipercayai pengamal ajaran sesat dipenuhi dengan pelbagai objek dan senjata yang digunakan untuk ilmu hitam.

Polis percaya alatan tersebut juga digunakan untuk memukul mangsa, selain itu anak pasangan terbabit yang mengalami malnutrisi turut didera bapanya.

Mangsa yang mengalami luka parah di seluruh badan kini menerima rawatan di hospital dan memerlukan masa lama untuk kembali pulih daripada kecederaan dan trauma yang dialaminya.

Sementara itu, suami mangsa yang diberkas ketika hadir ke balai polis dan berpura-pura melaporkan kehilangan ahli keluarga, kini sedang menanti perbicaraan.