Orang ramai berkumpul di jalan-jalan utama di Orlando West, Soweto bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas isteri mendiang Nelson Mandela, Winnie Madikizela-Mandela pada Jumaat.

Jasad Winnie dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan pada Sabtu.

Kawasan yang menjadi tempat berkumpul warga Afrika Selatan itu turut dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Pengebumian rasmi itu akan diadakan di Stadium Orlando dan jasadnya akan disemadikan di tapak perkuburan keluarganya di Fourways.

Madikizela-Mandela meninggal dunia pada 2 April lalu di usia 81 tahun akibat sakit yang berpanjangan.

Beliau merupakan seorang wanita hebat yang banyak memperjuangkan hak-hak warga kulit hitam bersama bekas suaminya Nelson Mandela sepanjang hayatnya sehingga digelar Mother of The Nation.