Betapa mulia hati seorang warga emas sanggup membantu membiayai yuran kolej empat pelajar dengan menjual barangan terpakai yang dikutip dari longgokan sampah.

Wang Kunsen, seorang pesara tentera berusia 86 tahun, sering dilihat sejak lima tahun lalu, mengayuh basikal mulai tengah malam di bandar raya Hangzhou, wilayah Zhejiang, mencari barangan yang boleh dijual.

“Memang apa yang saya dapat tidak banyak, namun untuk membantu orang, ini satu-satunya cara bagi saya mendapatkan wang.

“Saya sudah tua dan tiada siapa mahu mengambil saya bekerja,” katanya.

Wang berkata, hasrat membantu pelajar miskin timbul selepas melihat gambar seorang kanak-kanak yang tidak mampu bersekolah.

Pada 2012, Wang bertemu seorang mahasiswi dari daerah Changshan yang tidak mampu membayar yuran pengajiannya.

Pesara itu lalu memutuskan membantu gadis tersebut dan membeli basikal untuk mencari barang kitar semula, dari hasil jualan Wang berjaya mengirim 4,000 yuan (RM2,500) setahun kepada pelajar terbabit.

Kerja keras Wang terbalas apabila dia menerima gambar graduasi pelajar berkenaan berserta ucapan terima kasih atas pengorbanannya.

Lelaki itu kemudian memutuskan menolong tiga lagi mahasiswa dari Zhejiang.

“Biasanya saya mampu menghantar 400 yuan (RM246) setiap bulan.

“Saya keluar mencari barangan terpakai pada waktu malam kerana tidak mahu bersaing dengan golongan yang benar-benar mencari rezeki dengan cara itu,” katanya. - Agensi