SEBUAH bas meletup di Lambeth Bridge di sini mengakibatkan situasi panik buat para pelancong dan orang awam berdekatan yang tidak mengetahui letupan berkenaan sebenarnya sebahagian daripada penggambaran filem.

Menurut The Independent, sebahagian netizen kota London berkongsi rasa terkejut di media sosial selepas menyaksikan bas tersebut meletup lalu dimamah api. Ada juga yang menyangka insiden berkenaan merupakan serangan pengganas.

Salah seorang warga London yang merungut ialah penulis novel terkenal, Sophie Kinsella yang mengirim tweet: “Hei orang filem, lain kali kalau mahu letupkan bas di Lambeth Bridge, boleh tak beritahu dulu supaya kanak-kanak di taman tidak ketakutan?”

Letupan tersebut merupakan sebahagian adegan filem The Foreigner lakonan Jackie Chan dan Pierce Brosnan.





Bagaimanapun, terdapat warga London lain yang mengingatkan bahawa notis pemberitahuan mengenai letupan berkenaan telahpun dikeluarkan.