Sebuah meja makan yang diatur sebaris dan sepanjang 500 meter mencuri perhatian di tengah-tengah laluan jambatan paling ikonik serta bersejarah di ibu negara Republik Czech, pada Selasa.

Di atas Charles Bridge yang terkenal dalam kalangan pelancong asing dan diguna secara harian oleh warga Prague itu, susunan meja panjang berkenaan bukanlah suatu acara biasa.

Reuters melaporkan, para tetamu yang duduk menjamu selera di bentangan putih berkenaan adalah warga kota yang berhimpun untuk mengucapkan 'selamat tinggal' kepada pandemik koronavirus.

Pada petang Selasa itu, mereka menunggu hari berikutnya yang menyaksikan banyak peraturan sekatan pergerakan sejak dikuat kuasa pada Mac lalu, dilonggarkan pihak kerajaan.

Dikelilingi aura binaan Zaman Pertengahan yang merentangi Sungai Vltava, mereka ‘meraikan’ momen istimewa sebagai lambang komitmen rakyat menentang COVID-19, meskipun seluruh dunia mengetahui bahawa vaksin masih belum ditemui.

Foto: Reuters

"Jambatan ini adalah metafora yang bagus. Orang dari latar berbeza dapat berkumpul,” ujar penganjur acara, Ondrej Kobza.

Penganjuran itu, menurutnya: “Adalah suatu keraian untuk menunjukkan bahawa kami tidak takut, dan kami keluar serta enggan berada di dalam rumah sahaja,” katanya.

Tambah Kobza, makan malam itu dapat dilangsungkan kerana tiada pelancong asing yang mengunjungi kota Prague ketika ini.

Setiap tetamu yang menyertai acara makan malam itu digalakkan untuk berkongsi makanan dan minuman yang mereka bawa dengan tetamu lain.

Republik Czech adalah antara negara terawal menguatkuasakan larangan ketat untuk mengekang penularan koronavirus pada pertengahan Mac lalu.

Pada 30 Jun, negara yang berpopulasi 10.7 juta orang itu mencatatkan sejumlah 11,895 kes jangkitan dan 349 kematian yang berkaitan dengan COVID-19. Angka tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding statistik di negara-negara Eropah lain.