Pihak polis Thai yang memberkas seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun pada Rabu kerana menjual jam tangan berjenama tiruan di laman Facebook tidak menyangka suspek juga memiliki senjata api dan tinggal lebih masa di negara ini.

Pegawai polis menjumpai lebih daripada apa yang dijangkakan apabila pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu menemukan satu pistol 9mm buatan China dan 10 peluru.

"Bukan hanya menjual jam tangan berjenama tiruan menerusi akaun Facebooknya, suspek juga telah tinggal lebih masa di Thailand selama lima tahun.

"Warga Singapura itu memasuki Thailand pada 2014 dan sepatutnya berada di negara ini sehingga Ogos tahun itu," kata Timbalan Ketua Polis Pelancong Mej Jen Surachet Hakpal kepada media di sini pada Khamis.

Warga Singapura itu menurut beliau, mendakwa membuat keuntungan bulanan antara 70,000 hingga 80,000 Baht (antara RM8,900 hingga RM10,250) daripada urus niaga haramnya.

Surachet berkata, lelaki itu diberkas di bilik sewanya di daerah Chatuchak, di sini bersama 22 jam tangan berjenama tiruan yang dibeli dari China dengan harga 2,000 Baht sebuah (kira-kira RM256 sebuah) sebelum menjualnya semula kepada pelanggan dalam taliannya.

Lelaki Singapura itu menikmati keuntungan lumayan selepas menjual jam berkenaan dengan harga antara 10,000 hingga 20,000 Baht untuk sebuah jam tiruan (antara RM1,280 hingga RM2,560).

Antara jam berjenama tiruan yang dijual lelaki itu ialah Rolex, Omega, IWC dan Patek Philippe.Suspek yang kini ditahan polis dijangka didakwa kerana melanggar undang-undang hak cipta, tinggal lebih masa dan memiliki senjata api dan peluru secara haram,

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pelancong itu yang juga bertanggungjawab terhadap pembenterasan "Macau Scam" atau penipuan menerusi talian telefon, berkata pihak berkuasa telah menghapuskan 90 peratus daripada kegiatan penipuan itu sepanjang tujuh bulan operasi.

Kejayaan itu mengelakkan warga Thailand daripada mengalami kerugian berjumlah 1bilion Baht (kira-kira RM120 juta), juga menyaksikan ramai orang diselamatkan daripada dipaksa bekerja dengan sindiket, katanya.

-- BERNAMA