WARIS seorang pelakon aksi lagak ngeri yang maut selepas jatuh terhempas dari ketinggian 20 kaki (6.09 meter) ke permukaan konkrit di set penggambaran siri popular The Walking Dead, telah diberikan pampasan berjumlah AS$8.6 juta (RM33 juta) dalam satu penjurian di Atlanta.

Ibu bapa John Bernecker sebelum itu mengemukakan saman ke atas syarikat penerbitan hiburan AMC Networks dan juga beberapa defendan lain dalam produksi berkenaan, atas kegagalan menerapkan langkah keselamatan berikutan aspek kewangan dan perubahan jadual kerja.

Reuters melaporkan, pampasan Bernecker, yang diwakili ibunya itu meliputi ganti rugi sivil tanpa tuntutan lain, dan diputuskan oleh juri di Mahkamah Negeri Atlanta, Gwinnett County.

Walaupun AMC Networks menegaskan pihaknya telah mengambil prosedur standard berkaitan keselamatan aksi lagak ngeri, pihak juri berpendapat, syarikat itu telah mengabaikan dan perlu bertanggungjawab atas insiden kemalangan yang membawa maut itu.

"Langkah itu telah diambil sepanjang penghasilan 10 musim dan lebih daripada 150 episod, dan ia terus digunakan ke hari ini, termasuk dalam insiden yang memilukan dan terpencil ini,” kata kenyataan AMC.

Bernecker berusia 33 tahun sewaktu dia terkorban pada Julai 2017 di set penggambaran di Senoia, iaitu kira-kira 64 kilometer di selatan Altlanta, Georgia. Mendiang disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

"Saya berharap keputusan ini membawa mesej jelas tentang perlunya mengikut standard keselamatan industri setiap hari, setiap penggambaran dan di setiap lokasi,” ujar peguam Jeff Harris.

Tambah Harris, kematian tragis John Bernecker terjadi akibat kegagalan berkaitan isu keselamatan.

“Belajar dari kegagalan ini amat penting untuk menghindari tragedi yang sama berulang ke atas mana-mana pelakon dan juga keluarga,” ujarnya.