Waris Kesultanan Sulu menolak cadangan kerajaan Filipina untuk merundingkan pampasan lebih tinggi ke atas wilayah Borneo Utara yang hari ini merupakan sebahagian daripada Sabah yang didakwa dipajak kepada Malaysia.

Jurucakap waris kesultanan itu, Abraham Idjirani menyelar Presiden Filipina, Benigno Aquino III kerana mengemukakan cadangan itu dan berkata cadangan tersebut tidak pernah dirundingkan dengan pihaknya oleh kerajaan Filipina.

"Kenyataan Presiden bahawa ada empat pilihan untuk menangani isu Sabah hanya mengukuhkan lagi tuntutan wilayah oleh Kesultanan Sulu. Tetapi beliau sepatutnya menjemput waris kesultanan berbincang," katanya seperti dipetik oleh The Manila Times.

Aquino pada Isnin berkata kerajaannya masih mengkaji tuntutan wilayah ke atas Sabah oleh waris Kesultanan Sulu dan satu daripada pilihan yang dipertimbangkan untuk menyelesaikan pertikaian itu ialah menuntut sewa pajak yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Aquino juga menyifatkan pilihan itu sebagai "yang paling realistik" antara tiga pilihan lain. Idjirani bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan menerima pilihan yang dipertimbangkan oleh Istana Malacanang dan menegaskan wang tidak pernah jadi satu isu.

"Kalau seseorang itu lapar sekali pun, dia tidak akan ambil apa saja yang disuapkan kepadanya kerana dia tidak pasti apakah yang disuapkan itu racun," katanya, merujuk kepada pampasan itu.

Idjirani berpendapat kerajaan Filipina sepatutnya merangka satu penyelesaian yang melibatkan rundingan dengan pihaknya bersama-sama dalam kajian mengenai isu Sabah.

Beliau melahirkan rasa curiga kononnya kerajaan Malaysia yang merundingkan perjanjian damai MILF terlibat dalam cadangan itu.

Beliau juga menambah pihaknya akan memenuhi wasiat Jamalul Kiram III yang meninggal dunia Ahad lalu supaya waris Kesultanan Sulu meneruskan usaha mengambil semula Sabah daripada Malaysia.

Kesultanan itu mendakwa Sabah hanya dipajak kepada Malaysia mengikut satu perjanjian pada 1878 dengan sebuah syarikat Britain.

Malah Idjirani berkata Malaysia sehingga hari ini masih membayar kepada waris kesultanan itu RM5,500 sebulan sebagai apa yang didakwa sebagai pajak.

Malaysia bagaimanapun menganggap perjanjian itu sebagai satu serahan dan rakyat Sabah telah memilih untuk jadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963.

Isu itu kembali hangat selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu dari selatan Filipina yang menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu, Sabah pada 12 Feb lepas.

Susulan itu kerajaan telah melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera negara terkorban dalam operasi itu manakala 68 pengganas ditembak mati,.

Selain itu polis telah menahan 443 individu atas pelbagai kesalahan dan 121 lagi di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).