Berita  | Dunia

Wartawan dibunuh sebulan selepas mengadu dibelasah, diancam polis di Mexico

Wartawan dibunuh sebulan selepas mengadu dibelasah, diancam polis di Mexico
Ruben Pat dalam satu foto yang dimuat naik di Facebook pada 15 Februari, 2015. REUTERS
MEXICO CITY: Seorang wartawan telah dibunuh tidak jauh dari Cancun, lokasi popular pelancong di tenggara Mexico, kira-kira sebulan selepas mangsa mengadu dibelasah dan diancam oleh polis tempatan, kata pegawai kerajaan sambil menambah insiden itu adalah yang ketujuh seumpamanya pada tahun ini.

"Ruben Pat, pengurus di Playa Newsweekly, telah ditembak mati pada pagi Selasa di kawasan Playa del Carmen," menurut kenyataan kerajaan negeri Quintana Roo.

Pat adalah wartawan kedua Playa News yang dibunuh dalam tempoh kurang sebulan selepas rakan sekerjanya, Jose Guadalupe Chan, berdepan nasib sama.

Rakan sekerja Pat, yang enggan dikenali, berkata mangsa sedang membuat liputan berkaitan isu keselamatan dan telah menerima ancaman sejak lapan bulan lepas.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York, Pat memaklumkan badan itu pada Jun bahawa beliau telah diserang oleh pegawai polis perbandaran.
"Mereka mahu saya berhenti menyiarkan artikel mengenai seorang ketua polis tempatan dan saya tahu apa yang akan berlaku kepada saya jika saya enggan berbuat demikian," adu Pat kepada CPJ. 

Pihak pendakwaan berkata Pat telah ditembak pada kira-kira pukul 6 pagi di luar sebuah bar dan perkhidmatan kecemasan mengesahkan kematiannya sejurus tiba di lokasi kejadian.

Pendakwaan berkata insiden itu bertujuan "menakut-nakutkan" wartawan lain.

Playa News, dalam laman Facebooknya, telah mendesak kerajaan memberikan jawapan mengenai pembunuhan Pat.

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan, Mexico adalah tempat kedua paling berbahaya di dunia untuk wartawan pada tahun lepas, di belakang Syria yang terjejas akibat perang saudara, dengan 11 pembunuhan.

Bagaimanapun, bidang kewartawanan bukanlah satu-satunya profesyen yang berisiko di Mexico.

Sekurang-kurangnya 145 ahli politik telah dibunuh di negara itu sepanjang tempoh antara bulan September 2017 dan pilihan raya presiden pada 1 Julai lepas. 

Menurut statistik kerajaan bagi 2017, lima daripada lapan bandaraya paling ganas di dunia terletak di Mexico.

Los Cabos yang terletak di barat laut Mexico mendahului senarai itu dengan 111 pembunuhan bagi setiap 100,000 warganegara.

-- BERNAMA-NNN-TELESUR