Kerajaan Jepun masih berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan seorang wartawan negaranya yang kini menjadi mangsa tebusan militan Daish dipercayai cebisan Al-Qaeda di Syria, selepas gambar terkini mangsa tersebar di internet.

Reuters melaporkan, gambar yang tersebar di internet sejak Ahad itu menunjukkan Jumpei Yasuda yang memakai pakaian berwarna jingga dan dalam keadaan kusut-masai.

Dalam gambar itu, mangsa memegang sekeping kertas putih dengan tulisan Jepun yang bermaksud: “Tolong saya. Ini peluang terakhir saya."

Rayuan Yasuda mendapat perhatian pada Mac lalu, apabila videonya yang memaparkan dirinya membaca pesanan untuk negara dan keluarganya. Media Jepun melaporkan, Yasuda telah ditahan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Nusra, selepas memasuki Syria dari Turki pada Jun lalu.

Menteri Luar Jepun Fumio Kishida berkata pihak kerajaan telah meneliti gambar baharu itu dan yakin itu ialah Yasuda, sementara Ketua Jurucakap Kabinet Yoshihide Suga memberitahu pihak kerajaan sedang berusaha melakukan sesuatu.

“Memandangkan usaha memastikan keselamatan rakyat Jepun adalah keutamaan, kami menggunakan segala rangkaian maklumat dalam sedang melakukan apa yang termampu,” kata Suga yang menambah, usaha itu termasuk berhubung dengan Nusra.

Pada awal 2015, kumpulan Daish telah memenggal kepala dua rakyat Jepun – seorang perunding keselamatan dan seorang wartawan perang.

Insiden itu telah mengejutkan banyak pihak namun kerajaan Jepun pernah bertegas, pihaknya tidak akan tunduk kepada rundingan dengan militan dalam usaha membebaskan mangsa.