Wartawan Malaysia Mok Choy Lin yang kini menjalani hukuman penjara dua bulan di Myanmar kerana didapati bersalah menjalankan penggambaran dengan dron negara itu, akan dibebaskan lebih awal.

Ini selepas pihak berkuasa Myanmar memutuskan untuk menggugurkan tuduhan yang dikenakan ke atas Choy Lin, dan tiga yang lain.

Choy Lin, jurukamera warga Singapura Lau Hon Meng, penterjemah Aung Naing Soe, serta pemandu mereka Hla Tin, yang merupakan warga tempatan, ditahan 27 Oktober lalu.

Keempat-empat mereka bertugas dengan syarikat penyiaran Turki, TRT ketika menjalankan penggambaran menggunakan dron di parlimen di ibu negara Naypyitaw.

Wakil kerajaan, Tun Tun Win ketika mengemukakan permohonan menggugurkan tuduhan itu memaklumkan, keempat-empat tertuduh tidak mempunyai niat untuk membahayakan keselamatan negara.

Tun Win juga menjelaskan keputusan menggugurkan tuduhan dibuat bagi menjaga hubungan dengan negara jiran, merujuk kepada Singapura dan Malaysia.

Tuduhan ke atas keempat-empat mereka dijangka digugurkan secara rasmi oleh pihak pendakwa raya selewat-lewatnya pada Khamis.

Mereka dijangka dibebaskan lebih awal daripada tempoh tamat hukuman pada 9 Januari depan.

Kes melibatkan wartawan TRT ini mengundang perhatian dan kebimbangan antarabangsa, berhubung isu kebebasan akhbar di Myanmar di bawah pemerintahan Aung Sang Suu Kyi.

Dua wartawan agensi berita Reuters turut ditahan dua minggu lalu, atas dakwaan memiliki dokumen sulit.

Mereka berdepan hukuman penjara 14 tahun jika didapati bersalah atas dakwaan tersebut.